Showing posts with label khutbah. Show all posts
Showing posts with label khutbah. Show all posts

Tuesday, November 1, 2011

Al-Quran | Undang2 Allah



1) Allah tidak pernah menghalang fitrah manusia yang mahukan kegembiraan. Tetapi fitrah itu perlu disalurkan mengikut kehendak Allah. Semasa berada selama 13 tahun di Mekah, umat Islam susah nak bergembira dan mengamalkan agama kerana penindasan  kerajaan Mushrikin Mekah. Ni'mat kebebasan beragama dan berhari raya hanya mulai dirasai setelah berhijrah ke Madinah. Kesimpulannya hari raya yang disambut umat Islam bukan hanya sambutan anjuran kerajaan seperti lazimnya berlaku dalam sesebuah negara, tetapi ia adalah anjuran Allah Penguasa Alam, sehingga puasa pada hari itu pun diharamkan sama sekali. Bahkan sesiapa yang cuba berpuasa pada hari itu akan berdosa.

2) Sambutan hari raya yang disertai takbir adalah manifestasi syukur kepada Allah yang telah mengurniakan hidayahNya kepada kita. Ini difahami dari firman Allah:     

 ۗ يُريدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسرَ وَلا يُريدُ بِكُمُ العُسرَ وَلِتُكمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلىٰ ما هَدىٰكُم وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ           
Ertinya: Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas PETUNJUKNYA yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.  

Hidayah itu pula bukan menjadi milik kita yang boleh diambil atau dibuang dengan mudah seperti kita menekan atau menutup suis lampu di rumah kita. Ia adalah milik mutlak Allah, namun tingkah laku kita juga memainkan peranan untuk memudahkan hidayah Allah menjengah masuk ke hati kita. Ini berdasarkan firman Allah:

وَالَّذينَ اهتَدَوا زادَهُم هُدًى وَءاتىٰهُم تَقوىٰهُم

Ertinya: Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayat petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa (Muhammad[47:17]).

3) Bulan Ramadhan adalah bulan puja umur al-Quran (Istilah sambutan hari lahir bagi para raja menurut budaya orang Kelantan). Selain hari raya yang menjadi sambutan tahunan, umat Islam juga perlu mendengar khutbah mingguan pada hari Jumaat. Antara rukun yang perlu dilaksanakan dalam khutbah mingguan atau tahunan ini adalah untuk mendengar bacaan ayat al-Quran tanpa mengira jenis ayatnya. Rukun ini bertujuan mengajar umat Islam untuk menghayati al-Quran secara konsisten. Khatib pula perlu memetik ayat yang boleh disesuaikan dengan isu semasa. Dengan ini, umat Islam akan sedar fungsi al-Quran kepada kehidupan mereka.
Malangnya sesetengah umat Islam hanya membaca al-Quran untuk tujuan tertentu sahaja seperti mendapat pahala, dilagukan dan untuk menghalau pelesit. Sepatutnya al-Quran dihayati dan digali hikmahnya untuk kegunaan hidup.



3) Mengapa boleh berlaku isu murtad? Secara teorinya, orang Melayu semenjak zaman Parameswara memeluk Islam bukan kerana kesedaran mereka, tetapi kerana mengikut kehendak para Raja dan Sultan. Islam pula dibawa oleh para pedagang Islam yang berakhlak tetapi tidak sehebat karisma para ulama. Akibatnya orang Melayu memeluk Islam kerana tarikan ketaatan kepada pemimpin dan keindahan akhlak para pedagang. Mereka memeluk Islam bukan kerana keteguhan akidah sebagaimana para sahabat nabi SAW. Namun begitu, usaha mereka tetap disanjungi kerana telah mengislamkan datuk nenek moyang kita.  Tanpa usaha mereka kita pun belum tentu mengenal Allah seperti sekarang.        

4) Selain faktor sebelum ini, kesan penjajahan juga memainkan peranan kepada kelemahan akidah umat Islam. Para penjajah telah memilih bakal pemimpin gantian mereka dari kalangan bukan beragama. Akibatnya rakyat terpaksa menerima pemimpin yang berkiblatkan penjajah dan jahil persoalan dosa, pahala, syurga dan neraka. Para agamawan sezaman mereka pula suka mengasingkan diri dari medan politik kerana kekangan bahasa Inggeris. Mereka suka berkubu di surau dan masjid mengajar Fardhu Ain sehingga persoalan agama hanya disempitkan kepada soal halal haram, sah batal sahaja. Pendekatan akidah yang mereka bawa juga begitu berfalsafah dan sukar untuk difahami sedangkan akidah menurut al-Quran amat mudah dan boleh difahami oleh orang Arab Jahiliah pada zaman nabi SAW. Pengajaran akidah yang berbelit kadangkala tambah menyukarkan orang awam untuk mengenali Allah. Pendekatan falsafah dalam akidah dibawa oleh para ulama silam untuk melawan kerancakan fahaman muktazilah. Musuh zaman moden pula bukan lagi pemikiran muktazilah tetapi pemikiran NASIONALIS yang memisahkan agama dari politik.     

5) Nabi berkhidmat bukan seperti para pemimpin berkhidmat. Sesetengah pemimpin hanya mementingkan perut dan poket mereka. Di akhirat kelak, para pengikut yang di dunia dahulu tidak berfikir menjadi pak turut pemimpin yang jahat akan menyesal serta menyalahkan para pemimpin ikutan mereka. Mereka amat berharap agar dapat kembali ke dunia untuk menebus kesalahan lalu. Namun semua harapan mereka kosong belaka. Firman Allah:

Ertinya: (Yaitu) ketika orang-orang yang diikuti itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat siksa; dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali.

Ertinya: Dan berkatalah orang-orang yang mengikuti: "Seandainya kami dapat kembali (ke dunia), pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami." Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatannya menjadi sesalan bagi mereka; dan sekali-kali mereka tidak akan ke luar dari api neraka (al-Baqarah[2:166-167]).

Berbeza dengan para ahli politik dunia, keprihatinan nabi SAW kepada umatnya berterusan ke akhirat. Baginda amat risaukan umatnya terjatuh ke dalam neraka ketika semua manusia melintasi dada neraka di atas titian Sirat sebagaimana firman Allah:

وَإِن مِنكُم إِلّا وارِدُها ۚ كانَ عَلىٰ رَبِّكَ حَتمًا مَقضِيًّا
Ertinya: Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (melintasi neraka di atas titian Sirat),(yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu (Maryam[19:71]).

Dalam menggambarkan ketegangan suasana tersebut, nabi SAW menyebut dalam sebuah hadith:
Ertinya: Tidak ada yang bercakap pada hari itu (ketika manusia melintasi titan Sirat) kecuali para Rasul, dan percakapan para Rasul pada hari itu adalah; Ya Allah! Selamatkanlah! Selamatkanlah (umatku).

6) Islam wajib diamalkan secara penuh sebagaimana firman Allah:

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءامَنُوا ادخُلوا فِى السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ الشَّيطٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ

Ertinya: Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu (al-Baqarah[2:208]).

Para pemimpin yang hanya mengambil ajaran Islam secara terpilih samalah seperti seorang pemimpin yang melonggarkan skru sesebuah tayar. Akibatnya rakyat bawahan yang lebih jahil akan terus membuang skru yang sudah sedia dilonggarkan oleh para pemimpin yang jahil. Atau tayar tersebut yang digunakan oleh rakyat jelata akan senang tercabut apabila bergerak. Ini analogi gejala murtad yang berpunca daripada kejahilan dan kelonggaran pemimpin.

8) Dalam memilih pemimpin (yang baik untuk dunia dan akhirat)  dalam sistem demokrasi, mengundi adalah wajib. Mustahil sekali untuk seseorang tokoh datang menawarkan diri untuk menjadi menteri besar atau perdana menteri. Apa yang lebih penting adalah memilih pemimpin yang benar-benar layak. Contoh pemimpin terbaik adalah nabi Muhammad SAW yang memegang semua portfolio pemerintahan.

9) Antara pengajian agama adalah percaya dengan kewujudan para malaikat! Mereka ini pula makhluk ghaib yang hanya boleh diketahui melalui pengajaran agama. Persoalan ghaib tidak dapat ditanggap oleh ilmu Sains moden. Oleh itu, umat Islam wajib mempelajari agama melalui wahyu dan pada masa yang sama tidak mengabaikan ilmu  Sains. Pokoknya sains dan agama saling bergandingan. Antara para malaikat yang wujud adalah malaikat pemikl arasy yang senantiasa berdoa kepada orang elit ; orang yang beriman dan bertaqwa. Doa para malaikat adalah doa yang amat diperlukan oleh manusia. Firman Allah: 


Ertinya: Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu dan peliharalah mereka dari azab Neraka (Ghafir  [40:7]).

Orang islam yang elit dan berpegang dengan al-Quran amat beruntung kerana senantiasa didoakan oleh para malaikat tersebut.

10) Ilmu agama hanya dapat diperolehi dengan panduan Al-Quran. Al-Quran adalah kitab hidayah yang amat elit. Ia juga hanya mampu diterima oleh hamba Allah yang elit sahaja seperti orang yang beriman dan bertaqwa. Ini selari dengan firman Allah:

ذٰلِكَ الكِتٰبُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِلمُتَّقينَ

Ertinya: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi PETUNJUK BAGI ORANG YANG BERTAQWA (al-Baqarah[2:2]).


11) Dunia ini bertuan dan menjadi milik Allah. Manusia wajib mengormati tuan rumah dan tidak boleh sebarangan menceroboh dan bergerak bebas dalam rumah yang bertuan tanpa izin tuannya. Begitulah juga perumpamaan untuk manusia semasa hidup di dunia ini. Mereka wajib mengikut segala kehendak Allah dalam semua aspek hidup.

Saturday, October 22, 2011

Khutbah Audio 24 – Undang-undang Islam DiLaksana Kebahagiaan DiRasa

.

Undang-undang Islam DiLaksana Kebahagiaan DiRasa

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 12 surah as-Sajadah :
وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami engkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”
Islam adalah suatu agama yang lengkap dalam mengatur seluruh kehidupan umat manusia. Hukum-hukum syariah yang digariskan adalah untuk kemaslahatan dan kesejahteraan manusia. Sebagai hamba Allah SWT kita perlu meyakini bahawa hukum-hukum ini bukan untuk memberikan keberatan atau menambah bebanan ke atas kita sebaliknya untuk menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat. Jika kita memerhatikan kejadian alam ini, semuanya dicipta untuk kemudahan dan kepentingan hidup manusia. Begitu juga hukum-hakam syariah di mana kita akan mendapati bahawa setiap suruhan dan perintah Allah SWT pastinya akan diakhiri dengan penerangan tentang maslahah (kebaikan) yang akan diperolehi oleh mereka yang melaksanakannya. Begitu juga ayat-ayat yang menyentuh tentang larangan biasanya ia akan diakhiri dengan peringatan tentang mafsadah (keburukan) yang akan menimpa mereka yang melakukannya. Sebagai contoh, dalam persoalan puasa antara matlamat daripada pensyariatannya adalah supaya dapat mencegah manusia itu dari melakukan penderhakaan terhadap Allah SWT dalam kehidupan disamping baik untuk kesihatan. Begitu juga hukum hudud seperti kerat tangan bagi kesalahan mencuri bertujuan supaya terjaganya harta daripada diceroboh. Terdapat 6 perkara penting yang terkandung di bawah kemaslahatan ini iaitu [1] memelihara agama atau aqidah, [2] memelihara diri atau jiwa, [3] memelihara keturunan, [4] memelihara maruah [5] memelihara akal dan [6] memelihara harta
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 48 surah an-Nisa’ :
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.
Perkara yang paling penting yang wajib kita jaga ialah aqidah daripada terpengaruh dengan ajaran sesat apatah lagi murtad. Pada hari ini begitu banyak masalah dan perkara yang cuba menggugat aqidah umat Islam terutama ketika kebanyakan umat Islam jahil tentang agama mereka sendiri. Berkaitan kesalahan murtad atau keluar daripada agama Islam, sudah ditetapkan hukumannya bunuh melainkan pesalah bertaubat. Aqidah atau pegangan seseorang akan rosak melalui 3 cara iaitu [1] Iktiqad (kepercayan) antaranya dengan meayakini sesuatu perkara yang membatalkan iman, syak pada perkara yang yang wajib beriman dengannya dan syak pada perkara yang dinyatakan oleh agama secara qati’e (putus). [2] Perkataan antaranya mendustakan Allah dan Rasul dan perkara yang wajib beriman dengannya, memaki Allah dan Rasul, engkar perkara yang nyata wajib dengan dalil qati’e (putus), menghalal perkara yang nyata haram atau mengharam perkara yang nyata halal dengan dalil qati’e (putus), mempersenda dan membuat olok-olok dengan agama dan berkata dengan suatu yang menjadikan syirik atau kufur. [3] Perbuatan antanya jangan memperbuat suatu yang menjadikan syirik atau kufur, Jangan memperbuat suatu yang menyerupai syirik atau kufur
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 33 surah al-Isra’ :
وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّـهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).
Kedua kita wajib menjaga diri daripada membunuh orang lain tanpa sebenar atau bunuh diri sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana masalah pembunuhan semakin serius termasuk jenayah membunuh diri  di mana statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Kebanyakan kes bunuh diri akibat putus asa dalam menyelesaikan masalah seperti hutang, kerja, rumahtangga dan sebagainya. Islam memandang berat masalah ini di mana nabi Muhammad s.a.w telah banyak memberi amaran keras terhadap orang bunuh diri sendiri seperti maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 2 surah an-Nuur:
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
Islam begitu mementingkan penjagaan terhadap zuriat keturunan dengan mewajibkan kita menutup semua pintu zina termasuk pergaulan bebas, cara berpakaian dan sebagainya. Kita begitu bimbang bila jenayah membuang bayi kembali menghantui masyarakat. Begitu juga hasil Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010 yang melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak di mana seramai 2,260 responden mengakui terbabit seks bebas. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah. Setiap 3 daripada 6 remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan zina dan yang lebih mengecewakan ramai pelajar universiti yang turut terlibat sama dengan jenayah yang dahsyat ini. Sayyidina Umar Ibni Al-Khattab pernah berpesan, “Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu.” Kata syair : Sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh, jika akhlak mereka sudah lumpuh mereka pun akan lenyap
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
            Islam mewajibkan kita supaya menjaga maruah dengan akhlak mulia serta melarang menjatuhkan maruah orang lain termasuk tuduhan zina tanpa bukti dan sebagainya. Islam juga mewajibkan kita supaya menjaga akal daripada dirosakkan terutama dengan arak dan dadah serta perbuatan yang lain yang membawa kepada hilangnya akal. Begitu juga penjagaan syariat Islam terhadap harta supaya tidak dicerobohi sesuka hati termasuk mengambil tindakan yang tegas terhadap kesalahan mencuri dan merompak. Bila kita renungi dengan fikiran yang waras dan matang maka akan menambahkan lagi keyakinan kita terhadap kehebatan Allah dan keadilan sistem Islam di mana semuanya untuk kebaikan dan kebahagiaan kita di dunia dan akhirat bukannya sebagai penyekat kebebasan dan penindasan yang menzalimi manusia. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 38 surah al-Maidah:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Sunday, March 20, 2011

Amanah DiSisih Umat Merintih


“Jika pemimpin hanya bekerja untuk memenuhi kantung, peniaga pula hanya tahu cari untung maka rakyat di bawah hanya dapat melolong dan terlopong”
.....السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

            Wahai hamba-hamba Allah! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhannya dan menjauhi segala yang ditegahnya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 155 – 157 surah al-Baqarah :
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah maka mereka mengucapkan : إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ . 
Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk  

           
Kita di negeri Pantai Timur masih berada di musim tengkujuh di mana di sesetengah kawasan telah atau sedang menghadapi banjir sehingga ramai terpaksa berpindah dengan mengalami pelbagai kerugian dan kesulitan. Jadilah kita hamba Allah yang sentiasa mendapat pahala kebaikan dalam apa jua keadaan dengan bersyukur bila mendapat nikmat dan bersabar bila ditimpa musibah. Ujian yang datang samada sebagai peringatan atas kelalaian kita atau meningkat tahap keimanan kita yang diiringi dengan balasan pahala serta keampunan dosa bagi sesiapa yang mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh agama bukannya menjadi manusia derhaka yang menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Oleh itu bagi kita yang tidak ditimpa musibah seumpama banjir maka hulurkanlah bantuan mengikut kemampuan kita dengan sama-sama merebut kelebihannya sebagaimana galakan nabi melalui banyak hadis antaranya :

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْيٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أَطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَإٍ سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ. (رواه أبو داود)
Maksudnya : “Mana-mana orang Islam yang memberi pakaian kepada seorang Islam yang sedang terdedah anggotanya yang sepatutnya tertutup, Allah akan memakaikan penderma itu dengan pakaian (penduduk) syurga yang (serba indah dan) berwarna hijau. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi makan kepada seorang Islam yang sedang lapar, Allah akan memberi makan kepada penderma itu dari buah-buahan syurga. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi minum kepada seorang Islam yang sedang dahaga, Allah akan memberi minum kepada penderma itu dengan sejenis minuman syurga yang (serba lazat dan) termeteri kemas bekasnya.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,     
Firman Allah dalam ayat 33 surah Luqman :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا ۚ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun.
 Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah           

            Ketika merenungi pelbagai ujian dan musibah yang datang seperti banjir besar, rebut salji, gunung berapi, tanah runtuh, tsunami, ribut taufan dan pelbagai lagi peristiwa dahsyat maka ini semua mengingatkan kita betapa tua dan uzurnya bumi yang sepastinya terlalu hampir kepada saat kehancuran. Malah antara perkara pelik yang berlaku di Amerika Syarikat yang turut memeningkan para ahli saintis apabila hampir 5,000 ekor 
burung hitam mati jatuh dari langit seminggu selepas lebih 100,000 ikan ditemui mati di Sungai Arkansas. Di Britain pula sebanyak 40,000 ekor ketam setan merah turut mati manakala di Itali 8000 merpati mati, di Brazil 100 tan ikan sardin, sejumlah ikan keli dan gelama mati serta beratus-ratus ekor ikan siakap ditemui mati di New Zealand. Pelbagai andaian dibuat antaranya kesan letupan bunga api sambutan tahun baru, perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas, akibat percubaan senjata atau akibat penyakit. Malah isu teori qiamat yang bakal berlaku pada tahun depan 2012 kembali bergema di mana Idea perlanggaran planet Nibiru dikemukakan sejak 1535 oleh seorang ahli falsafah Perancis, Notramadus. Idea asalnya peristiwa ini akan berlaku pada 2003, namun tertunda hingga ke 2012. Kiraan ini dibuat berdasarkan kiraan kalendar kaum Mayan dari Amerika Tengah. Tarikh kalendar ini berakhir pada 21 Disember 2012, oleh yang itu perlanggaran ini akan berlaku sebelum tarikh akhir kalendar ini. Namun dakwaan planet Nibiru akan melanggar bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada 2012 adalah tidak benar. Bahkan kewujudan Nibiru itu sendiri masih diragui. Ia telah dijawab termasuk dalam Dewan Negara beberapa bulan lepas. Malah tarikh tersebut didedahkan oleh setengah pengkaji bukan tarikh kehancuran bumi sebaliknya tarikh untuk yahudi berpakat dengan musuh Islam lain dalam menghancurkan seluruh umat Islam. Oleh itu kita yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah mestilah yakin bahawa semua itu adalah antara tanda-tanda bahawa bumi ini terlalu dekat dengan qiamat. Gunalah masa yang masih ada untuk memperbanyakkan lagi bekalan akhirat disamping bertaubat memohon keampunan sebelum nyawa berada dihujung halkum, sebelum matahari naik sebelah barat.     

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَاسْتَمَعَ الْإِذْنَ مَتَى يُؤْمَرُ بِالنَّفْخِ فَيَنْفُخُ”، فَكَأَنَّ ذَلِكَ ثَقُلَ عَلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُمْ: “قُولُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا”. أخرجه أحمد ، والترمذي ، وابن حبان ، والحاكم
Maksudnya : “Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang sedangkan Malaikat Israfil telah meletakkan serunai sangkakala ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya.” Maka keadaan itu menyebabkan para sahabat merasa terlalu bimbang maka sabda nabi kepada mereka ucapkanlah : “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dialah sebaik-baik pengurus, kepada Allah segala urusan kami serahkan."

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,      
            Negara kita turut menghadapi pelbagai musibah termasuk jenayah yang banyak dan
bebanan kos sara hidup yang terus meningkat. Ketika pelajar universiti yang masih muda diburu dengan hutang pengajian maka selepas ini rakyat bakal diburu dengan saman ekor yang kejam. Malaysia yang merupakan antara pengeluar minyak utama dunia tetapi kenaikan harga minyak diikuti harga barangan terus berlaku. Jika sebelum ini krisis kekurangan gula di pasaran berakhir dengan kenaikan harga gula maka kini negara menghadapi krisis minyak masak akibat nafsu serakah pengeluar yang mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak masak ke luar negara kerana ia lebih menguntungkan sehingga rakyat biasa terpaksa berdepan dengan ketiadaan bekalan minyak masak. Jika pemimpin hanya bekerja untuk memenuhi kantung, peniaga pula hanya tahu cari untung maka rakyat di bawah hanya dapat melolong dan terlopong. Siapakah yang salah maka hitunglah diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain.

            Ingatlah suatu amaran nabi sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah ibnu Umar:
يَا مَعْشَرَ المُهَاجِرِيْنَ خَمْسٌ إِذَا ابْتَلَيْتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوْذُبِاللهِ أَنْ تُدْرِكُوْهُنَّ لَمْ تَظْهَرِ الفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوْا ِبهَا إِلا فَشَا فِيْهِمُ الطَّاعُوْنُ وَالأوْجَاعُ الَّتِى لَمْ تَكُنْ مَضَتْ ِفى أَسْلافِهِمُ الَّذِيْنَ مَضُوْا, وَلَمْ يَنْقُصُوْا المِكْيَالَ وَالِمْيزَانَ إِلا أُخِذُوْا بِالسِّنِيْنَ وَشِدَّةِ المُؤْنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلا مُنِعُوْا القَطْرَ مِنَ السَّمَآءِ وَلَوْ لا البَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوْا, وَلَمْ يَنْقُضُوْا عَهْدَ اللهِ وَعَهْدَ رَسُوْلِ اللهِ إِلا سَلَّطَ اللهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوْا بَعْضَ مَا فِى أَيْدِيْهِمْ, وَمَالَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللهِ وَيَتَخَيَّرُوْا ِمماَّ أَنْزَلَ اللهُ إِلا جَعَلَ اللهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ
Maksudnya : Wahai kaum Muhajirin! Ada 5 perkara di mana jika telah menimpa kamu maka tiada lagi kebaikan bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah S.W.T agar kamu tidak menemui zaman itu. 5 perkara itu ialah:
[1] Tidak bermaharajalela perbuatan zina pada suatu kaum sehingga mereka berani secara terang-terang melakukannya melainkan akan ditimpa penyakit Taun yang merebak dengan cepat dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang lain.
[2] Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka.
[3] Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T.
[4] Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah S.W.T dan rasulnya melainkan Allah S.W.T akan menurunkan kepada mereka musuh yang akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.
[5] Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah S.W.T yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan utama maka Allah S.W.T akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri
Sempena berada di tahun baru
maka berubahlah ke arah yang terbaik terutama dalam melaksanakan arahan Allah dalam setiap aspek kehidupan termasuk memilih pemimpin bertaqwa agar mendapat negara berkat


Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana2 negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri..

Ikhwanul Muslimin : 1. Allah tujuan kami (Allahu ghayatuna) | 2. Rasulullah teladan kami (Ar-Rasul qudwatuna) | 3. Al-Qur'an landasan hukum kami (Al-Quran dusturuna) | 4. Jihad jalan kami (Al-Jihad sabiluna) | 5. Mati syahid di jalan Allah cita-cita kami yang tertinggi (Syahid fiisabilillah asma amanina)