AGAMA

Agar Kaumku Beringat-ingat

On 19/01/2009, in BUKU: Rindu Bau Pohon Tin, by Abu Saif | 7,862 views | Print Print | Email Email |
“Anta tidak ke al-Masjid al-Aqsa?” tanya teman di sisi.
Tepu dada saya mendengar soalan itu.
Membendung perasaan untuk menjenguk ziarah ke Kiblat pertamaku, untuk menyusul jejak-jejak Isra’ dan Mi’raj yang agung itu, untuk menjamah barakah Tanah Haram ketiga itu. Masakan diri ini tidak kepingin untuk ke sana.
“Jangan ditanya keinginan hati. Jawapannya pasti. Tetapi ana menghormati fatwa masyaikh kita”, saya membalas lesu.
“Fatwa yang mana?” sahabat saya kurang pasti.
Haram melawat al-Masjid al-Aqsa kecuali dengan maksud jihad membebaskannya“, saya menjawab.

“Oh ya. Ana pun ada mendengarnya. Apa alasan fatwa itu?” tanyanya lagi.
“Lawatan sebagai pelancong ke al-Masjid al-Aqsa yang terjajah, mustahil berlaku kecuali kita meminta visa dan izin dari kerajaan regim Haram Zionis itu. Setiap application untuk ke Palestin adalah pengiktirafan kita kepada ketuanan Yahudi yang sedang menjajahnya. Malah setiap permohonan yang dicas USD100 itu menjadi sumber pendapatan kerajaan Zionis”, saya berkongsi apa yang saya tahu.
“Benar…!” teman saya menyapa perlahan.
Di era 90′an itu, ramai Ulama’ di bumi Syam yang memfatwakan haram ke atas aktiviti ziarah dan pelancongan ke al-Quds. Biar pun segelintir rakyat Malaysia masih aktif transit di Amman sekembalinya mereka dari Umrah, lalu menyambung perjalanan ke al-Quds melalui agensi-agensi pelancongan, kami yang bertamu sebagai penuntut ilmu di Dataran Syam ini, tidak berdaya untuk menyanggah fatwa ini. Al-Quds hanya beberapa puluh kilometer dari penempatan kami, namun untuk ke sana…. tidak mungkin.
Al-Quds bukan untuk diziarahi dalam mood pelancongan.
Ia menanti pembebasan!
gaza
ANGIN PALESTIN
Petang itu kami termenung di tembok Kota Karak. Kota yang pernah menyaksikan kegagahan Salahuddin al-Ayyubi menyanggah Tentera Salib dan membersihkan bumi Palestin.
Sayup-sayup di bawah sana, samar kebiruan Laut Mati terbentang penuh misteri. Di seberangnya… terhampar bumi Palestin, bumi yang menghiris setiap sendi dan tulang temulang diri ini.
“Iskkk!!!” saya tersesak nafas seketika.
“Kenapa?” tanya teman di sisi.
“Angin ini terhembus dari arah sana. Dari Palestin”, saya terus menarik nafas dalam-dalam. Mahu menjamah barakah al-Masjid al-Aqsa, biar pun hanya pada sapaan angin sepoi-sepoi bahasa senja Dataran Syam.
Saya belajar di Universiti Mu’tah. Universiti yang dibina di sisi Medan Mu’tah, tempat bermandinya darah Syuhada’ yang mempertahankan Islam pada tahun ke-8H. Biar pun peristiwa itu sudah lebih 1000 tahun berlalu, semangatnya masih panas membakar jiwa kami, Tetamu Dataran Syam di Medan ini.
Di tengah-tengah simpang empat berhampiran Masjid Syuhada, bulatannya masih terhias dengan replika sebuah peluru berpandu. Muncungnya dihalakan ke bumi Palestin. Mewakili azam dan keinginan penduduk untuk merempuh musnah kezaliman regim Zionis yang menjajah di seberang sempadan. Tidak jauh… hanya sekadar 30km sahaja.
KISAH MARWAN
Kami tidak lupa kepada kisah Marwan… anak muda dari University of Jordan yang mengisi cuti semesternya dengan jihad di bumi Palestin.
Marwan gugur…
Syahid fi sabilillaah!
Wajahnya menghiasi universiti kami. Anak muda yang bersih muka dan jiwa, tidak berlengah membawa pulang diri sebagai pelarian Palestin yang menumpang di kem muhajirin di Jordan, pulang dengan semangat dan azam untuk menebus tanah air yang dibelenggu Yahudi Zionis. Nasyid Marwan fi Sabilillah (Allahu Akbar Soihati) dimuatkan di dalam album Li’uyooni al-Qudsi Nughanni, mengabadikan kisah anak muda ini.
Anak muda seperti kami, terangsang tinggi dengan kisah Marwan. Rasa terhina diri ketinggalan di belakang jalan yang disusuri. Tidak mahu keciciran, bahawa tidak sama manusia yang duduk dengan yang berdiri, dan memacu jihad pembebasan mengorbankan diri.
Saya sering ke Kota Karak.
Sesekali ke pinggir Laut Mati.
Ada masanya ke bukit tinggi di kota Madaba.
Semata-mata mahu menjenguk pemandangan bumi Palestin. Bumi Tin dan bumi Zaitun. Bumi Ibrahim, bumi Ishaq dan bumi Yaaqub. Bumi Sulaiman dan bumi persinggahan sekalian Anbiya’ yang diutuskan. Bumi Isra’ dan bumi Imam Syafi’e, bumi penuh barakah yang terkurung bertembokkan sebuah penjajahan.
KEWAJARAN
Biar pun semangat jihad membakar ulas-ulas jiwa dan raga, saya tidak lupa kepada pesanan Allah Tuhan yang Esa:
“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga.” [al-Taubah 9: 122]
Allah SWT memerintahkan jihad. Namun tidak bijak untuk semuanya turun nafar ke medan Qital.
Biar sebesar mana pun delegasi jihad menyahut seruan, mestilah ada sekumpulan kaum mu’minin yang mengkhususkan diri mereka dalam tafaqquh mendalami al-Deen.
Sekumpulan ke medan perang.
Sekumpulan menuntut ilmu.
Sekumpulan memikul tugasan menjaga kebajikan dan urusan kaum mu’min.
Tiga kumpulan ini sentiasa memikul tugasan yang sama keutamaan. Tugasan yang bersinergi untuk kelangsungan usaha meninggikan agama. Dan setiap kita mesti berada di dalam lingkungan salah satu dari tiga kumpulan itu.
Ketika Marwan memilih untuk turun ke medan Qital, medan jihadku adalah pada mendalami agama, pulang ke kaumku dan mengajar mereka hakikat pertempuran ini, bahawa YAHUDI REALITI tidak mungkin dikalahkan oleh MUSLIM ILUSI.
9_122e
“(Agar dengan peringatan ini), kaumku akan beringat-ingat!”
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG, SELANGOR
Saifulislam.Com kini dihoskan di sebuah Dedicated Server. Sumbangan anda untuk membiayai kos operasinya amat dialu-alukan. Jazakumullahu khayr al-jazaa'





© SAIFULISLAM.COM (1997– 2012)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.

"Erti Hidup Pada Memberi"

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra, Kajang
Related posts:
  1. BERSIH 1.0: Agar Tanah Airku Terus Bermaruah
  2. Perang?
  3. Pindah oh Pindah
  4. Salam Muhibbah Dari Bumi Syam
  5. Saifulislam.Com di Dalam Bahasa Inggeris



kaji ISLAM yg sahih...dari sumber yg sahih

siapa kah ini?

sentiasa berdoa kepada-NYA



luasnya empayar Islam




kenapa pilih Islam? BECAUSE ISLAM ADALAH CARA HIDUP

No comments:

Post a Comment

Ikhwanul Muslimin : 1. Allah tujuan kami (Allahu ghayatuna) | 2. Rasulullah teladan kami (Ar-Rasul qudwatuna) | 3. Al-Qur'an landasan hukum kami (Al-Quran dusturuna) | 4. Jihad jalan kami (Al-Jihad sabiluna) | 5. Mati syahid di jalan Allah cita-cita kami yang tertinggi (Syahid fiisabilillah asma amanina)