Saturday, June 16, 2012

Al-Baqarah |

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

AYAT 1 HINGGA 5:


2-1: Alif, Lam, Mim. 

     Lebih kurang 1/4 daripada semua surah-surah dalam al-Qur’an, bermula dengan huruf-huruf abjad. Daripada 28 huruf-huruf dalam abjad Arab, 14 huruf muncul sama ada secara 1 huruf atau gabungan 2, 3, 4 dan 5 huruf, pada permulaan surah-surah:


Gabungan 1 huruf [permulaan surah] ialah: sad, qaf dan nun. 
Gabungan 2 huruf ialah: ha-mim, ta-ha, ta-sin dan ya-sin. 
Gabungan 3 huruf ialah: alif-lam-mim, ‘ain-sin-qaf dan ta-sin-mim. 
Gabungan 4 huruf ialah: alif-lam-mim-sad dan alif-lam-mim-ra. Gabungan 5 huruf ialah: kaf-ha-ya-‘ain-sad. 


 Tidak ada riwayat yang sahih menceritakan perkataan Rasulullah saw tentang maksud huruf-huruf pada permulaan surah-surah itu. Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin Khatab, Usman bin Affan dan Ali bin Abu Talib memberikan pendapat bahawa huruf-huruf tersebut tidak dapat ditafsirkan. Kebanyakan daripada sahabat Rasulullah saw mengikuti langkah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali, tidak mentafsirkannya. Ada sebilangan kecil dari kalangan sahabat Rasulullah saw memberikan pendapat peribadi tentang maksud huruf-huruf pada permulaan surah-surah tersebut.  
     Huruf-huruf di permulaan surah itu termasuk ayat ‘mutasyabihah’. Di kalangan generasi yang kemudian ini ada orang yang menggunakan kedudukan huruf-huruf tersebut sebagai ayat ‘mutasyabihah’ bagi tujuan tertentu dengan memberikan tafsir menurut pemikiran sendiri, kemudian mendakwanya sebagai ilmu hakikat yang tertinggi. Allah telah memberi peringatan mengenai orang yang seperti ini, sebagaimana diceritakan dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 7: “Dia (Allah) yang menurunkan sebuah kitab (al-Qur’an) kepada engkau (wahai Muhammad saw), sebahagiannya (isi kitab itu) adalah ayat-ayat yang ‘muhkamah’ (jelas maksudnya); itulah ibu (induk) isi kitab (al-Qur’an). Dan (ayat-ayat) yang lain adalah ‘mutasyabihah’ (yang samar-samar, mengandungi beberapa pengertian). Orang yang di dalam hati mereka ada kesesatan mencari-cari pada ayat-ayat mutasyabihah bagi mengadakan fitnah dan membuat takwil (penjelasan), sedangkan tidak ada yang mengetahui takwilnya kecuali Allah. Dan orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman kepadanya (ayat-ayat mutasyabihah), semuanya itu daripada sisi Rab (Tuhan) kami. Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan ‘ulul-albab’ (ahli fikir).” Oleh kerana itu ada keperluan pada masa ini untuk melihat hikmah, bukan mentafsirkan makna, huruf-huruf sebagai permulaan surah. 
    Lima ayat permulaan Surah al-‘Alaq adalah wahyu yang pertama diturunkan. Maksud lima ayat tersebut ialah: “Bacalah dengan nama Rab (Tuhan) engkau yang menciptakan. Dia (Allah) menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Rab (Tuhan) engkau itu amat mulia. Yang mengajar dengan qalam. Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Ayat 4 ‘Yang mengajar dengan qalam’, bermaksud mengajarkan penulisan dan apa yang dituliskan. Ayat 5 ‘Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya’, yang tidak diketahui oleh manusia itu ialah huruf-huruf yang mesti digunakan dalam penulisan. Sebagaimana Allah menciptakan manusia secara berperingkat-peringkat sehingga menjadi bentuk yang sempurna, begitu jugalah Allah mengajarkan pembentukan huruf-huruf dan penulisan kepada manusia. Huruf-huruf Arab yang digunakan dalam penulisan ayat-ayat al-Qur’an melalui beberapa proses pembentukan sebelum menjadi seperti yang ada hari ini. Di zaman Rasulullah saw sehinggalah kepada zaman Khalifah Usman bin Affan memerintahkan agar dikumpulkan al-Qur’an ke dalam satu mushaf, huruf-huruf Arab masih tidak ada tanda titik. Tanda-tanda titik hanya diletakkan pada huruf-huruf Arab di zaman pemerintahan Khalifah kelima Bani Umayyah, Abdul Malik bin Marwan, hasil cadangan al-Hajjaj bin Yusuf, penguasa Irak. Sebelum peringkat meletakkan titik, telah diadakan tanda-tanda baris pada ayat-ayat al-Qur’an di zaman pemerintahan Khalifah Bani Umayyah yang pertama, Mu’awiyah bin Abu Sufyan. 
    Huruf dan penulisan dalam bahasa apa sekali pun adalah kurniaan Allah yang sangat besar kepada umat manusia. Apabila kaum Muslimin bertemu dengan huruf-huruf yang menjadi permulaan surah, seharusnya mereka mengingati wahyu pertama yang diturunkan, yang menekankan kepentingan huruf dan penulisan dan mereka seharusnya bersyukur dengan nikmat Allah yang besar itu. Kesyukuran dizahirkan dengan menggunakan nikmat tersebut untuk manfaat umat manusia. 
   Huruf-huruf seperti qaf, nun, alif-lam-mim dan lain-lain, selain daripada dilihat sebagai huruf-huruf, boleh juga dilihat sebagai perkataan, sebutan atau bacaan. Huruf-huruf tersebut disebutkan satu-satu dengan teratur dan jelas. Hal ini mendidik kaum Muslimin agar membaca ayat-ayat al-Qur’an secara teratur dan jelas, seboleh-bolehnya menurut loghat Arab kerana huruf-huruf tersebut adalah huruf-huruf dalam abjad Arab. Bacaan atau sebutan yang betul, lebih-lebih lagi jika disebut dengan suara yang baik, akan membekas pada jiwa, walaupun erti perkataan yang disebut itu tidak diketahui.       
    Keseronokan dan keceriaan pada jiwa memberi kesan kepada akal fikiran dan tubuh badan. Seorang bapa yang pulang ke rumah dalam keadaan yang penat, penat jasad dan otaknya, akan bertukar menjadi cergas dan bertenaga sebaik sahaja mendengar hilai ketawa anaknya yang masih kecil. Hilai ketawa si anak itu hanyalah bunyi, bukan perkataan yang ada erti makna. Sebutan huruf-huruf pada permulaan surah al-Qur’an mempunyai kesan yang jauh lebih hebat daripada kesan hilai ketawa seorang anak kecil terhadap bapanya, walaupun orang yang menyebut huruf-huruf tersebut tidak mengerti maknanya. Kehebatannya dirasai oleh jiwa yang berisi iman. Ramai orang yang tidak mengerti bahasa Arab menangis apabila mendengar alunan bacaan ayat-ayat al-Qur’an, kerana walaupun akalnya tidak mengerti, tetapi hatinya diterangi oleh nur al-Qur’an. Surah Ibrahim, ayat 1 mengatakan: “Alif, Lam, Ra. (Inilah) sebuah kitab yang Kami turunkan kepada engkau, supaya engkau mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada nur (cahaya), dengan izin Rab (Tuhan) mereka, kepada jalan al-‘Aziz (Yang Maha Gagah), lagi al-Hamid (Yang Maha Terpuji).” 
   Ada di kalangan kaum Muslimin yang menghubungkan huruf-huruf pada permulaan surah dengan nama-nama Allah. Perbuatan mereka boleh dianggap sama dengan orang yang mengingati Allah tatkala melihat gerhana matahari atau apa juga keindahan alam maya yang menyentuh jiwanya. 
  Allah mempunyai maksud yang tersendiri pada pilihan-Nya menggunakan huruf-huruf tertentu di permulaan sesuatu surah. Maksud yang tersirat tersimpan dalam khazanah Allah. Ia menambahkan iman kepada orang yang beriman, sebagaimana dinyatakan oleh Surah Ali ‘Imran, ayat 7: “Dan orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman kepadanya (ayat-ayat mutasyabihah), semuanya itu daripada sisi Rab (Tuhan) kami. Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan ‘ulul-albab’ (ahli fikir).”


2-2:  Inilah kitab itu, tiada sebarang keraguan padanya, petunjuk bagi orang yang bertakwa. 

  Maksud alif-lam-mim yang tersirat tersimpan dalam khazanah Allah, iaitu sumber wahyu. Allah pernah menurunkan berkali-kali isi khazanah tersebut tetapi oleh kerana panjang masa berlalu membuatkan manusia ingat-ingat lupa. ‘Inilah kitab itu’ mengajak manusia mengingati semula. Ia bermaksud al-Qur’an ini datangnya daripada sumber yang sama di mana didatangkan kitab-kitab yang terdahulu. Jika dilihat kepada al-Qur’an nescaya akan diingat kepada kitab yang terdahulu. 

  ‘Tidak ada sebarang keraguan padanya’, merupakan jaminan Allah bahawa al-Qur’an ini benar. Benar ia datang daripada khazanah Allah. Benar ia diturunkan kepada manusia. Benar ia diturunkan oleh Jibril. Benar ia diturunkan dalam bahasa Arab dan kepada nabi yang berbangsa Arab. Benar isi kandungannya. Semuanya benar tidak ada yang lain melainkan benar. Itulah al-al-Qur’an. 
  Al-Qur’an itu adalah ‘petunjuk bagi orang muttaqin (yang bertakwa)’. Takwa berasal daripada perkataan ‘wiqayah’ yang bermaksud memelihara. Yang dipelihara ialah kehambaan makhluk kepada Allah dan kedudukan Allah sebagai Rab (Tuhan). Sesiapa yang benar-benar mahu mengabdikan diri kepada Allah, caranya ada dalam al-Qur’an. Sesiapa yang mahu bertauhid kepada Allah prinsipnya ada dalam al-Qur’an. Al-Qur’an adalah satu petunjuk. Ada dua perkara: Pertama al-Qur’an, kedua yang ditunjuk oleh al-Qur’an. Melihat kepada al-Qur’an sahaja tidak memadai jika tidak melihat kepada yang al-Qur’an tunjuk.
  Andainya al-Qur’an kata “Itu gunung”, kita tidak akan kenal gunung itu kecuali kita melihatnya. Al-Qur’an mengajar kita supaya mendengar dan melihat dengan telinga, mata, akal, jiwa, hati dan roh. Manusia mendengar dan melihat melalui al-Qur’an secara zahir dan batin. Tidak memadai dengan hanya menggunakan yang zahir sahaja atau yang batin sahaja. Manusia yang terdiri daripada anasir zahir dan anasir batin hendaklah mendengar al-Qur’an, melihat apa yang al-Qur’an tunjuk dan memelihara apa yang kedapatan dengannya untuk menjadikannya bertakwa.


2-3:  Orang yang beriman kepada yang ghaib, dan yang mendirikan solat serta sebahagian daripada apa yang Kami (Allah) rezekikan kepada mereka, mereka nafkahkan. 

   Permulaan ayat 3 mengatakan: ‘Orang yang beriman kepada yang ghaib’. 
  Apabila manusia mendengar perkataan al-Qur’an dan melihat kepada apa yang ditunjuk oleh al-Qur’an, bertemulah manusia dengan perkara ghaib. 
  Perkara ghaib yang paling hampir dengan manusia ialah diri batinnya sendiri atau hati, roh, nyawa atau jiwa. Akal juga perkara ghaib. Apabila manusia melihat kepada anasir ghaib pada dirinya dapatlah dia mengakui fungsi anasir ghaib yang memungkinkan anasir zahirnya berfungsi. 
   Jika tidak ada roh atau nyawa diri zahirnya mati, kaku, tidak dapat berbuat apa-apa. Jika tidak ada akal jadilah dia dungu tidak mengerti apa-apa. Jika tidak ada hati tidak dapatlah dia merasa, menghayati dan membuat keputusan.
   Penemuan terhadap anasir ghaib yang menguasai anasir zahirnya mengarahkan manusia memandang kepada anasir ghaib di luar daripada dirinya. Mudahlah dia percaya kepada malaikat-malaikat yang begitu aktif menjalankan dan memelihara setiap bahagian alam ini. 
   Seterusnya manusia sampai kepada mempercayai kewujudan Kuasa Ghaib yang mengatasi segala yang ghaib, iaitulah Allah, Rab (Tuhan) sekalian alam. 

   Selain yang demikian, bagi manusia pada masa ini apa yang berlaku dahulunya menjadi perkara ghaib kepada mereka. Rasul yang diutuskan lebih 1,400 tahun dahulu termasuk perkara ghaib bagi umat hari ini. Percaya kepada rasul juga sudah menjadi percaya kepada perkara ghaib.  
   Kitab-kitab yang diturunkan sebelum al-Qur’an sememangnya perkara ghaib, dan al-Qur’an juga perkara ghaib kerana umat hari ini tidak ada ketika al-Qur’an diturunkan dan mereka tidak pernah mendengar Rasulullah saw membacakannya. Percaya kepada kitab-kitab dan al-Qur’an sendiri juga termasuk dalam percaya kepada perkara ghaib. 
   Renungan kepada diri ghaib manusia akan membuka dimensi ghaib pada diri manusia. Manusia mengalami kematian kerana anasir ghaib meninggalkan anasir zahir. Yang mati adalah anasir zahir, tetapi ke mana perginya anasir ghaib. Anasir zahir mati tetapi anasir ghaib meninggalkan alam dunia untuk pergi ke alam lain. Alam berubah namun anasir ghaib tidak berubah. Ia tetap membawa apa yang diamalkannya semasa berkahwin dengan anasir zahir dahulu. Kematian anasir zahir tidak membebaskan anasir ghaib daripada tanggungjawabnya. Melalui jalan ini manusia sampai pula kepada percaya kepada akhirat. 
    Seterusnya ayat ini mengatakan: ‘dan mereka mendirikan solat’. Al-Qur’an tidak menyuruh bersolat tetapi mendirikan solat. Perintah ini ditujukan kepada anasir ghaib manusia, kerana anasir ghaiblah yang menghidupkan, yang memahami dan merasa. Roh, hati dan akal diperintahkan supaya mendirikan apa sahaja yang di bawah penguasaannya, termasuklah pancaindera dan keseluruhan tubuh badan supaya berdiri solat! Dirikan solat secara batin dan zahir. Jika diri batin sahaja melakukan solat ia akan ditanya kenapa dia meninggalkan amanah yang dipegangnya iaitu diri zahirnya. Diri batin yang beranasir ghaib datang daripada alam ghaib kepada alam zahir kerana diamanahkan menguruskan diri zahir. Salah satu amanah itu ialah solat. Jadi solat ada perbuatan zahir dan ada amalan batin. Kedua-duanya mesti seimbang. Tidak melakukan solat yang zahir seumpama tidak memberi makanan kepada tubuh badan. Perbuatan ini merupakan kesalahan besar kepada diri yang diberi kuasa mentadbir, iaitu diri batin. 
    Bahagian akhir ayat 3 ini mengatakan: ‘serta sebahagian daripada apa yang Kami (Allah) rezekikan kepada mereka, mereka nafkahkan’. Manusia berusaha bertungkus-lumus mencari harta. Setelah harta itu terkumpul Allah menyuruh mereka mendermakan sebahagiannya kepada golongan yang miskin hartanya. Manusia diberitahu bahawa pemilikan mereka bukanlah mutlak. Bukan terhadap pemilikan harta sahaja malah apa juga yang mereka miliki termasuklah bakat-bakat dan kebolehan mengumpulkan harta itu juga bukan milik mutlak mereka. 
   Manusia disuruh insaf terhadap anugerah Allah kepada mereka. Bakat dan peluang adalah kurniaan Allah. Di samping itu ada pula malaikat yang bekerja keras mendatangkan rezeki sebagaimana diperintahkan oleh Allah. 
  Al-Qur’an mengajak manusia menginsafi hal ini. Akuilah kemurahan Allah secara berlaku murah pula kepada hamba-hamba Allah yang lain. Ramai di atas muka bumi ini manusia yang tidak mempunyai bakat dan peluang untuk mendapatkan harta. Sebahagiannya mungkin kerana tidak ada kesempatan mendapatkan pendidikan yang baik. Yang lain pula mungkin lemah akal atau tubuh badan mereka. Banyak lagi alasan-alasan yang menyebabkan mereka lemah di dalam urusan mencari harta.
    Di waktu tengah malam, ketika manusia lain sedang nyenyak tidur, insan-insan malang ini bangun menadahkan tangan ke langit, memohon kepada Allah agar meringankan beban mereka. Mereka tidak meminta kekayaan, hanya sekadar terlepas beban berat yang mereka tanggung. Allah mendengar rayuan syahdu mereka. Lalu Allah perintahkan hamba-hamba-Nya yang diberi harta supaya ikut sama mendengar rayuan insan malang tersebut dan menghulurkan bantuan kepada mereka daripada hak Allah yang ada dengan mereka. Surah al-Nisa’, ayat 75 menceritakan: “Mengapa kamu tidak mahu berjuang pada jalan Allah dan (membela) orang yang ditindas (yang terdiri) daripada laki-laki, perempuan dan kanak-kanak, yang semuanya mendoakan: “Rabbana (wahai Tuhan kami)! Keluarkanlah kami dari negeri ini yang penduduknya begitu zalim dan datangkanlah kepada kami pembela daripada sisi Engkau (sisi Allah).” 
     Bagi orang yang dianugerahkan harta berbelanja dengan hartanya. Bagi yang diberikan ilmu berbelanja dengan ilmunya dengan menyebarkannya kepada insan lain yang kurang berilmu. Bagi yang diberi kuasa berbelanja dengan menggunakan kuasanya membantu insan lain yang tidak ada kuasa. 
      Allah menyampaikan rezeki kepada hamba-Nya melalui tangan hamba-Nya. Seorang bayi yang baharu lahir memperolehi rezeki melalui ibunya. Wanita yang melahirkan anak, Allah jadikan di antara darah dan hampas menjadi susu sebagai hak bayinya. Jika wanita itu enggan memberikan hak bayinya itu maka dia telah melakukan kesalahan besar. 
      Kanak-kanak yang masih kecil tidak tahu berusaha mendapatkan rezekinya. Jika Allah hantarkan kepadanya satu gunung emas pun dia tidak mampu menerimanya. Oleh itu Allah hantarkan rezekinya melalui bapanya. Begitu juga dengan hamba-hamba yang lain yang rezekinya dihantar melalui orang lain. Begitulah kemurahan Allah berjalan di antara hamba-hamba-Nya.


2-4: Dan orang yang beriman kepada apa yang diturunkan kepada engkau (Muhammad saw), dan yang diturunkan sebelum engkau, serta kepada akhirat mereka yakin. 

Permulaan ayat 4 mengatakan: ‘Dan orang-orang yang percaya kepada apa yang diturunkan kepada engkau’, ‘engkau’ di sini bermaksud Nabi Muhammad saw. ‘Apa yang diturunkan kepada engkau’ ialah apa yang daripada Allah kepada Nabi Muhammad saw. ‘Yang diturunkan’ kepada Nabi Muhammad saw  ialah: 



1: Pangkat nabi dan rasul. Mengiringi pangkat tersebut ialah sifat-sifat, bakat-bakat dan keupayaan menanggung dan menjalankan tugas sebagai nabi dan rasul. 

2: Wahyu diturunkan daripada Allah kepada Nabi Muhammad saw. 
  
  Nabi Muhammad saw berupaya menerima kedatangan wahyu tersebut sekalipun kedatangan wahyu itu sesuatu yang berat. Wahyu adalah Kalam Allah. Beratnya kedatangan Kalam Allah jelas dengan hancurnya Bukit Tursina menerima tajali Allah. 
  Kalam yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad saw merupakan Kalam-Nya yang sudah Dia (Allah) gubah hingga mampu diterima oleh Nabi Muhammad saw dalam bahasa Arab, sedangkan Kalam Allah yang hakiki bukanlah berbahasa.
      Walaupun Kalam itu sudah Allah gubah menurut kesesuaian nabi yang menerimanya namun kedatangannya masih lagi berat dan tidak mampu diterima oleh manusia yang selain nabi. Walaupun nabi manusia biasa tetapi kemampuan nabi menerima kedatangan wahyu lantaran anugerah Allah kepadanya menjadikan nabi manusia biasa yang luar biasa. Jika seseorang melihat nabi sebagai manusia biasa semata-mata tanpa melihat ‘luar biasa’ yang Allah letakkan kepada nabi itu, sesungguhnya pandangan orang tersebut hanya berhenti pada luarannya sahaja. 
   Selain mampu menerima kedatangan wahyu, nabi juga dipersiapkan oleh Allah supaya mampu menyimpan wahyu di dalam dadanya, mampu pula memahaminya secara terperinci sebagaimana yang Allah kehendaki dan mampu melaksanakan kehendak wahyu secara praktikal. 
   Wahyu boleh dilihat melalui dua sudut. Pertama wahyu sebagai bacaan atau yang ditulis. Kedua wahyu yang nyata iaitu yang dipraktikkan oleh nabi. Wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw itulah Kitab al-Qur’an sementara wahyu yang dipraktikkan oleh Nabi Muhammad saw itu ialah Kitab Yang Nyata. 

3: Selain mampu mengingat, membaca, memahami dan mempraktikkan wahyu, nabi juga tahu cara yang terbaik menyampaikan dan mengajarkan wahyu kepada orang lain. Strategi dakwah yang nabi laksanakan merupakan yang terbaik selama tidak ditegur oleh Allah. Kesesuaian tindakan nabi dengan kehendak Allah adalah kerana selain wahyu yang dikategorikan sebagai al-Qur’an, Allah juga menurunkan kepada nabi ilham dan kasyaf dan yang utamanya bimbingan secara langsung daripada Jibril. 
    Banyak ayat-ayat al-Qur’an mengingatkan orang yang beriman agar taat kepada Allah dan taat kepada rasul. Taat kepada Allah ialah dengan beriman kepada al-Qur’an. Taat kepada rasul ialah dengan mempercayai dan menuruti perilaku dan tindakan rasul kerana rasul tidak sekali-kali menyalahi al-Qur’an. 
      Prinsip-prinsip yang tersebut di atas merupakan kepercayaan bagi orang yang mahu bertakwa. 
     Seterusnya ayat 4 ini mengatakan: ‘Dan apa yang diturunkan sebelum engkau’, iaitu kitab-kitab selain al-Qur’an yang diturunkan kepada nabi-nabi yang terdahulu daripada Nabi Muhammad saw. Kaedah penurunan wahyu dan nabi-nabi terdahulu sama seperti kaedah Nabi Muhammad saw. Ayat ini dengan jelas menyatakan kesinambungan perjalanan al-din atau biasanya diistilahkan sebagai agama. Setengah orang takut menggunakan istilah agama kerana ianya tidak menepati maksud al-din. Al-din adalah perkataan Arab membawa maksud Islam. Agama adalah bahasa Melayu yang membawa maksud Islam juga. Terpulanglah mahu digunakan perkataan al-din atau agama tetapi maksudnya ialah Islam iaitu yang diturunkan oleh Allah. 
    Ada orang bertanya apakah manusia yang selain nabi tidak mampu memahami dan mempraktikkan wahyu sebagaimana kebolehan nabi? Jawapannya ialah, ya, bahkan tidak mampu. Jika wahyu mampu diterima, difahami dan dipraktikkan dengan tepat oleh semua orang tentulah wahyu turun kepada semua orang.     
    Wahyu akan menjadi seperti wang yang hilang di sepanjang jalan. Sesiapa sahaja boleh menemui wang tersebut dan mengenali itu adalah wang dan tahu menggunakannya. Tetapi wahyu hanya turun kepada orang yang menjadi nabi. Orang lain mendengar wahyu yang dibacakan oleh nabi sedangkan nabi sendiri menerima wahyu terus ke dalam dadanya. 
   Umpama seorang yang terserempak dengan singa yang ganas. Lahirlah perasaan gerun dan takut yang bersangatan dalam jiwanya. Bila dia menceritakan pengalamannya kepada orang lain mereka mampu membayangkannya tetapi tidak sampai ke tahap pengalaman orang yang benar-benar terserempak dengan singa itu. Oleh itu orang lain hanya perlu percaya bahawa berjumpa dengan singa ini sangat menggerunkan dan menakutkan. 
    Nabi-nabi menerima wahyu secara langsung ke dalam hati mereka. Pengalaman menerima wahyu itu adalah benar dan nyata bagi nabi. Orang ramai yang tidak menerima wahyu secara langsung perlu percaya dengan apa yang nabi ceritakan mengenai wahyu itu. Mengambil kefahaman tentang wahyu dengan akal sendiri belum terjamin kebenarannya tetapi menuruti nabi dalam memahami wahyu terjamin kebenarannya. 
    Akhir ayat 4 ini mengatakan: ‘serta kepada akhirat mereka yakin’. Tatkala Rasulullah saw mula-mula berdakwah, konsep kehidupan akhirat menjadi sesuatu yang sangat sukar diterima oleh kebanyakan orang Arab. Konsep kebangkitan pada hari akhirat menjadi suatu berita yang sangat menggemparkan, sebagaimana diceritakan oleh Surah al-Naba’, ayat 1 hingga 3: “Tentang apakah mereka saling bertanya? Tentang satu berita yang besar!  (Berita kebangkitan) yang mereka telah berselisihan mengenainya.”
  Akal fikiran mereka tidak dapat menerima kenyataan bahawa setelah mereka mati dan jasad mereka telah hancur luluh, mereka akan dibangkitkan semula. 
    Surah al-Saffat, ayat 16 dan 17 menceritakan keadaan mereka: “Apakah apabila kami telah mati, dan menjadi tanah dan menjadi tulang-tulang, apakah sungguh kami akan dibangkitkan? Dan apakah (dibangkitkan juga) bapa-bapa kami yang telah terdahulu?” Surah Ya Sin, ayat 78 menceritakan: “Dan dia membuat perumpamaan tentang Kami (Allah), dan dia lupa kepada kejadiannya, dia berkata: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur luluh?" Di kalangan kumpulan masyarakat yang kebanyakannya tidak mempercayai hari akhirat itulah muncul satu kelompok yang yakin dengan sepenuh hati kepada akhirat. Mereka itulah orang yang beriman dan bertakwa. Adunan Allah yang terdiri daripada beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, menafkahkan harta dan beriman kepada wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan nabi-nabi yang terdahulu, melahirkan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada kebenaran akhirat.


2-5: Mereka itulah yang mendapat petunjuk daripada Rab (Tuhan) mereka, dan merekalah orang yang berjaya. 

 Orang ‘muttaqin’ (yang bertakwa) memperolehi iman, keyakinan dan sifat-sifat seperti yang tersebut di atas adalah semata-mata kerana petunjuk daripada Allah. Allah menjamin bahawa mereka itulah orang yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. 

 Ayat 1 hingga 5, Surah al-Baqarah menceritakan secara ringkas tentang satu golongan daripada umat manusia yang diperakui sebagai hamba-hamba Allah yang beriman dan bertakwa. 

No comments:

Post a Comment

Ikhwanul Muslimin : 1. Allah tujuan kami (Allahu ghayatuna) | 2. Rasulullah teladan kami (Ar-Rasul qudwatuna) | 3. Al-Qur'an landasan hukum kami (Al-Quran dusturuna) | 4. Jihad jalan kami (Al-Jihad sabiluna) | 5. Mati syahid di jalan Allah cita-cita kami yang tertinggi (Syahid fiisabilillah asma amanina)